Salam Satu Malaysia semua.
Hari ni Zu nak menyentuh sikit pasal isu menutup aurat ni. Maaflah, zu bukanlah seorang yang berilmu tentang bab-bab begini, setakat asas untuk panduan sendiri tu bolehlah. Tapi tadi Zu terjumpa satu artikel yang amat menarik minat zur, tajuknya pun sungguh catchy. Artikel yang zur dapati daripada laman sesawang (hehehe..)
www.iluvislam.com ini ditulis oleh saudara Hanif Abdul Hamid, editor majalah
Almusafirq8.
Marilah, kita kongsi bersama. Moga dapat membuka minda kita dan mana tahu, boleh mengubah persepsi kita?
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa
dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya.
Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja
seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu
milik orang alim dan bukannya orang Islam.
Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan
dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang
aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga
apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang
membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah
adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi?
Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup
aurat itu bererti menghilang status seksi?
Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap
mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak
menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai
iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.
Didalam kajian psikologi,
lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi
lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan
mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?
Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau
diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog
atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering
mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi
selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala
Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat
demikian.
Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa
dengan situasi wanita yang membuka aurat
menganggap wanita muslim
mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan
fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga
amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu,
dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.
Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti
lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin
menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi
jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi
kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.
Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan
Islam di seluruh dunia mengakui bahawa
wanita muslim adalah wanita yang
paling seksi di dunia.
Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu
begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya
dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.
Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada
adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu.
Berbeza dengan
seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian
seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas
meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara
kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat
dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata
yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap
sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang
membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara
mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan
kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana
itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga
wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang
sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan
melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri
dan nafsu orang lain.
Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek
pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian
lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit
kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama
gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.
Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab.
Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita
memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah
seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga
maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk
memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada
yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah
hakikat yang benar.
Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak
kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal
hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih
dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung
saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata,
mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang
bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk
menjamahnya.
Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua
baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati
perintah Allah.
Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi
sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar
lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan
bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan
itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.
Kata Zur: Tepuk dada tanya iman. Allah kurniakan akal kepada kita untuk berfikir. Ikut rasa, binasa, ikut hati, masuk neraka...pilihlah.. :)