Thank you so much for following this blog

Tuesday, August 16, 2011

Anugerah Ilahi

Semalam aku pulang lambat, selepas berbuka hampai jam 9 malam baru sampai di nursery mengambil anak-anak. Kasihan anak-anak mama, terpaksa menunggu. Badan yang letih, otak yang penat, segala-galanya hilang sebaik sahaja melihat wajah kedua-dua jantung hatiku. Menerima pelukan dan ciuman hangat daripada si adik, melihat senyuman si abang yang tersipu-sipu bila aku mencuit hidungnya cukup untuk mengembalikan semangat yang kian hilang dimamah waktu.

Mama!!!. Itu jeritan yang aku rindukan setiap hari, jeritan yang membuatkan aku tak pernah berasa sabar untuk berjumpa mereka berdua. Bertuahnya diri, punya buah hati yang menjadi segala-galanya dalam hidupku. Beruntungnya kerana bisa mendengar panggilan 'mama' itu setiap hari. Tekanan, keletihan dan segala kepenatan yang bersarang dalam diri selepas seharian dalam kesibukan hilang serta-merta sebaik sahaja mencium ubun-ubun mereka. Bagi aku, mereka sentiasa harum, walaupun tubuh lencun berpeluh dek bermain. Kanak-kanak.............penghuni syurga...

Lately ada beberapa peristiwa yang menyentuh naluriku. Si adik tak lena tidur, kerana gatal-gatal seluruh badan. Mungkin allergic. Badan yang penat, mata yang teramat mengantuk, keenakan dibuai mimpi terpaksa ditolak tepi apabila mendengar dia merengek sambil menggaru-garu di seluruh badan. Aku renung tubuh kecil itu. Rasa bersalah mula menyelubungi diri, menyesal kerana tidur terlalu lena sedangkan dia sedang bertarung dengan ketidakselesaan. Pantas aku bangun, aku cium pipi mulus itu, aku selak rambutnya yang panjang, perlahan-lahan aku pegang tangannya dan menepuk perlahan, tangannya sudah berhenti menggaru, matanya kembali pejam. Tidurlah anak, biar mama membantu....tanganku menggosok-gosok seluruh badannya. Aku lihat di bahagian kaki nya sudah berdarah kerana digaru. Kasihannya, kalau bukan kerana aku tertidur, tidaklah sampai berdarah begini. Aku ambil ubat dan aku sapu perlahan-lahan, mulutku tidak berhenti-henti membaca Fatihah, semoga Allah mengizinkan dia untuk tidur lena untuk malam itu.

Ku lihat sebelah, ah, si abang merengkuk kesejukan. Entah kemana selimutnya. Aku capai selimutku dan pantas menyelimuti tubuh kecil itu, agar dia terasa sedikit panas dan boleh tidur dengan lena. Si adik nampaknya sudah lena, perlahan-lahan aku baring di tengah-tengah antara putera puteri hatiku. Mataku kembali pejam, syukurlah, insyaallah...si adik akan dapat tidur dengan lena hingga ke pagi. Tiba-tiba aku rasakan ada tangan kecil memeluk leherku dengan erat sehingga aku boleh merasakan kehangatan pipinya menyentuh pipiku.Aku tersenyum dan tanpa ku duga, dia bangun dan menciumku bertalu-talu di seluruh muka. Oh anak, kamu membuat mama terharu. Mungkin inilah caranya untuk dia mengucapkan terima kasih atas kesanggupan aku melupakan keenakan dibuai mimpi nan indah. Sesungguhnya, ini adalah sesuatu yang terlalu manis, sayang.

Masa berlalu. Hari ini aku tidak dapat pulang awal dan berbuka puasa bersama-sama suami dan anak-anak, ada kerja penting yang harus diselesaikan di office. Ah, hati sudah di rumah tapi apakan daya. Aku cepat-cepat menyelesaikan tugas yang ada agar aku boleh pulang dengan segera. Dalam hati tertanya-tanya, apakan santapan mereka untuk berbuka nanti? Terbayang-bayang kami sekeluarga duduk di meja dan si abang akan membaca doa sebelum makan bersama-sama. Terdengar-dengar suara si adik yang meminta ayam walaupun itu adalah ikan. Ah...aku harus bekerja dengan lebih pantas, aku rindu mereka.

Jam 11 malam baru aku sampai di rumah. Si adik menerpa dan memeluk aku sebaik sahaja aku melangkah masuk sambil minta di dukung. Mana abang? Oh, abang sudah tertidur di sofa. Kasihan anak mama. Hari ini hari pertama dia berjaya puasa penuh tapi mama tak ada untuk bersama-sama meraikan kejayaannya. Maafkan mama, sayang. Aku pantas mandi dan menunaikan solat Isyak.  Pada tahiyat yang terakhir, aku rasakan ada seseorang di sebelahku. Dalam hati terdetik " siapa pula?". Aku cuba lebih kusyuk...tiba-tiba, aku terasa ada ciuman singgah di kedua pipiku....kiri dan kanan. Ya Ampun...Muhammad Muqri!

Salam diberi. Ku melihat si abang duduk bersandar di dinding menunggu aku habis bersolat. Sebaik sahaja aku habis memberi salam, pantas dia datang dan baring atas ribaku.Hmm...aku tersenyum, aku cium dahinya, ku usap rambutnya yang lembut...Ya Allah, terima kasih atas kurniaanMu ini.

Sesungguhnya anak-anak itu anugerah yang tidak ternilai...



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Popular Posts