Thank you so much for following this blog

Thursday, December 12, 2013

Kerana Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, dengan izin-Nya maka saya berkesempatan untuk menulis diblog ini. Dah lama sangat saya tinggalkan sehinggalah baru-baru ini sahabat-sahabat lama bertanyakan kisah blog ini. Terima kasih kalian di atas respons positif. Saya cuma cuba memanfaatkan bakat yang Allah beri agar tidak sia-sia. Manalah tahu dengan perkongsian yang sedikit tapi ikhlas dari hati ini mampu memberi manfaat kepada orang lain. Manalah tahu kebaikan tersebut diambikira oleh Allah untuk ‘saham akhirat’ saya. Alhamdulillah syukur

Tak tahu dari mana harus saya mulakan. Terlalu banyak yang hendak dikongsikan, untuk dijadikan teladan. Mungkin saya harus mulakan tentang bulan kesayangan saya iaitu bulan Ramadhan? Bulan kesayangan anda semua juga pastinya. Bulan yang sentiasa dirindui. Rindu pada tenangnya hati didalam Ramadhan, rindu pada tenteramnya jiwa ketika beribadah didalam Ramadhan. Tetapi selama 33tahun saya menjalani hidup, Ramadhan kali inilah yang paling bermakna.
Saya berubah kerana Ramadhan. Saya kembali ke jalan Allah kerana Ramadhan. Benarlah kata orang, didiklah hati mentaati Allah supaya kita merasai kemanisan beribadah. Benarlah kata orang mulakan hijrahmu dibulan Ramadhan kerana ketenangan yang dibawanya sangat sukar diungkapkan dengan kata-kata. Subhanallah…sayangnya Allah pada saya, diberikan kekuatan dan peluang memperbaiki diri hari-ke-hari. Panjang lagi nyawa saya kerana dia mahukan taubat saya. Mudah-mudahan.. lama lagi masa saya didunia ini supaya saya mampu menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan taat pada Dia.
Saya terasa ingin menangis bila memikirkan betapa saya rindukan Ramadhan. Ramadhan kali ini sangat berbeza. Puasanya, solatnya, ibadahnya, subhanallah… Lama saya berfikir untuk kembali taat pada ajaran agama. Hanyut saya dengan pujian, dengan godaan, dengan kenikmatan duniawi hingga satu masa, saya tak tahu lagi apa tujuan hidup saya. Solat hanya setakat buat, ibadah-ibadah lain sambil lewa. Masyaallah…jahatnya saya. Alangkah jahilnya saya..tak terungkap kesal dengan kata-kata.

Hinggalah satu masa beberapa hari sebelum Ramadhan, saya termenung selepas asar. Lama…menung yang sangat sangat lama. Kenapa? Kerana seorang sahabat yang selalunya saya jumpa di surau berada dalam koma selepas terlibat dalam satu kemalangan. Saya mengenali dia tetapi tidak pernah menegur dia. Kami hanya saling bertukar-senyuman. Saya perhatikan beliau bersolat, sungguh kusyuk. Solatnya kelihatan dalam keadaan yang sangat teliti, tidak tergesa-gesa seperti saya. Saya selalu memerhatikan dia memakai stoking sebelum menyarungkan sandal, aurat ditutup sempurna, tidak seperti saya. Bibirnya sentiasa bersedekahkan senyuman, tuturnya lembut, ketawanya kecil sahaja.

Saya berfikir, jika orang sebaik dia, seindah itu akhlaknya diduga sebegitu rupa, bagaimana pula dengan saya, insan yang penuh dengan dosa? Ditakdirkan Allah ambil nyawa saya dalam keadaan begini, apa yang hendak saya bawa mengadap Dia nanti? Saya menyoal diri tentang bagaimanakah pengakhiran hidup saya? Dimanakah saya akan berada ‘disana’ nanti? Allahuakbar..banyaknya dosa saya. Tak terjawap dek akal bila memikirkan
Saya bertekad. Hijrah saya mulakan secara perlahan-lahan. Alhamdulillah..hari pertama Ramadhan, saya labuhkan hijab menutupi dada. Saya mulakan dengan membetulkan diri. Saya kenakan stoking. Walaupun ditertawakan dan diejek oleh rakan-rakan, saya tetapkan hati dan pendirian. Saya percaya perkara sekecil itu akan membantu saya memperbaiki diri. Saya tidak menunggu masa yang sesuai kerana saya tidak punya masa lagi. Terlalu banyak masa saya terbuang dengan sia-sia. Saya kurangkan ketawa dan bercakap yang sia-sia, cepat-cepat solat bila masuk waktu, berbuka seadanya, solat tahajud sebelum sahur kerana saya tidak mahu memaksa diri tapi saya tidak pernah tinggalkan walaupun sekurang-kurangnya 2rakaat sahaja. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala-galanya buat saya.

Saya tidak menyatakan bahawa saya seorang yang baik, jauh dari sempurna. Saya Cuma ingin menyatakan bahawa saya rasa bersyukur kerana Allah beri peluang kepada saya utk membetulkan diri. Jauh lagi perjalanan saya, banyak lagi yang harus saya perbetulkan…terlalu banyak. Tetapi saya berdoa kepada Allah agar terus berikan hidayah kepada saya, membimbing saya dan memelihara saya. Dia Tuhan yang Maha Membolak-balikkan hati,semoga hati saya tetap dijalan-Nya.

Sahabat,
Jika kita mahu berada dijalan-Nya, Dia akan berlari menyambut kita
Jika kita taat pada perintah Dia, masakan Dia akan meninggalkan kita
Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Agung.
Yang akan menyayangi kita tatkala insan kesayangan kita tidak lagi kasih
Yang akan membimbing kita tatkala insan yang kita sayang tidak lagi peduli
Saya yakin, saya percaya, disaat kita tak punya apa-apa tetapi kita percaya pada Dia, kita sebenarnya sudah punya segala-galanya.
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Popular Posts